Assalamualaikum dan hai semua!
Dari hari tu lagi teringin nak baca buku ni. Kawan-kawan asyik cakap ngeri la, takut la. Siap ada yang pesan jangan baca sorang-sorang la, jangan baca malam-malam la. Curious pula jadinya.
Selepas menunggu sekian lama, akhirnya sampai juga turn untuk pinjam buku ni.
Terima kasih ye, tuan buku.... **Wink*Wink**
SINOPSIS (belakang buku)
Kalau asyik baca novel cinta saja pun kadang-kadang bosan juga kan? Try
novel ni. Tapi jangan baca seorang diri. Make sure ada teman. Sebab ada
kemungkinan anda akan merasa aneh. Juga berhalusinasi benda yang bukan-bukan.
Novel ini bukan untuk mereka yang lemah semangat. Tapi untuk mereka yang nak
menjana minda dan menguatkan jantung. Sebab semakin jauh membaca, otak anda
akan semakin ligat berputar dan jantung anda akan semakin kuat berdebar-debar.
Tak percaya? Cubalah.
*********************************************************************************
Ia mengisahkan tentang kejadian yang dilalui oleh Munir, seorang pegawai polis yang hanya percaya dan berpegang teguh dengan fakta dan logik akal. Kepercayaannya itu dicabar setelah dia mengenali Adib.
Segalanya bermula sewaktu Munir memandu seorang diri untuk pulang ke kampungnya. Dia yang tidak pernah meminati puisi, tiba-tiba menghayati secebis puisi yang kedengaran di corong radio keretanya. Perjalanan pulang kali itu lebih panjang dari biasa. Sepatutnya ia hanya memakan masa selama 6 jam. Munir sedar dia telah tersesat tatkala dia tiba di sebuah kampung yang sunyi. Ketika itulah dia bertemu seorang budak lelaki berusia 7 tahun bernama Adib.
Sewaktu melalui kampung itu, Munir terlihat Adib duduk sambil membaca sebuah buku di depan rumah yang kelihatan sudah lama ditinggalkan. Sudah puasa Munir bertanyakan orang kampung itu, tetapi tiada sesiapa yang mengenali Adib. Kerana kasihankan Adib, Munir membawa Adib bersamanya pulang ke kampung. Pelbagai halangan ditempuhi sepanjang perjalan itu. Akhirnya, setelah hampir 14 jam memandu, Munir tiba di kampung ibunya bersama Adib.
Perkara pelik mula
berlaku, tetapi Munir macam biasa menafikan dengan menggunakan logik
akalnya. Munir yang merasa aneh melihat Adib yang selalu
sangat membaca sebuah novel berkulit hitam kosong, meminta daripada Adib untuk review dahulu buku itu, manalah tahu isi kandungannya tidak sesuai dengan kanak-kanak
seperti Adib.
Munir memulakan pembacaannya. Novel itu mengandungi beberapa kisah. Kisah pertama tentang dua orang budak sekolah bernama Azim dan Elmira. Mereka adalah kawan baik, walaupun Azim orang miskin dan Elmira anak orang kaya. Suatu hari, Elmira menjemput Azim ke majlis harijadinya; majlis yang diraikan secara besar-besaran sesuai dengan kekayaan keluarganya. Majlis telah dimulakan, tetapi Azim belum kunjung tiba. Sebenarnya, Azim telah lama berada di luar rumah Elmira, tetapi dia tidak mempunyai keberanian untuk memasuki rumah besar itu. Akhirnya Azim masuk juga ke majlis itu. Tetapi malangnya, tiba-tiba sahaja Azim bertukar - gigi taring, badan berbulu-bulu, kuku tajam (mungkin macam serigala jadian?) dan mencederakan Elmira tanpa sengaja. Azim menghilangkan dirinya. Tiga bulan kemudian, seekor kucing hitam masuk ke bilik Elmira, dan Elmira mengenali kucing itu, dan ianya adalah Azim. Tamat kisah pertama. Munir menutup novel itu dan hendak ke dapur untuk memanaskan kopinya. Semasa melintas bilik Adib, Munir terdengar Adib bercakap-cakap. Kelihatan seekor kucing hitam bersama Adib. Kebetulan sungguh kucing hitam itu muncul seperti kisah yang baru dibacanya. Munir merasa pelik, tetapi dia menenangkan dirinya menggunakan logik akal.
Munir meneruskan lagi pembacaannya, sehinggalah sampai ke sebuah kisah, di mana semua nama watak
dalam kisah itu sama dengan nama orang-orang yang Munir kenali. Tambah merisaukan
Munir apabila kisah itu menceritakan tentang kematian seorang wanita bernama Suraya,
serupa dengan nama kekasihnya. Kerana bimbang, Munir sentiasa menelefon Suraya
untuk memastikan tiada apa-apa yang buruk berlaku kepadanya. Mengikut logik akal
Munir, sekiranya Suraya ok, maknanya novel itu kebetulan sahaja. Tetapi
malangnya, ia benar-benar berlaku, dan Suraya meninggal.
Jenazah Suraya dibawa pulang ke rumah keluarganya dari hospital. Semasa tinggal
Munir dan Adib sahaja menemani jenazah itu, tiba-tiba Adib mengucup dahi Suraya
dan membisikkan sesuatu ke telinga jenazah Suraya. Munir pelik dan bertanya.
Adib memberitahu dia sedang menunggu emaknya, sekejap lagi emak dia datang. Tiba-tiba ruang itu
terasa panas dan Munir nampak jenazah Suraya terbakar. Dia duduk di satu sudut,
menjauhkan diri sambil menutup mata. Bila Munir membuka matanya, jenazah Suraya sudah tiada.
Yang ada seorang wanita memakai kain batik biru, dan Adib merangkul pinggang wanita
itu.
Munir akhirnya dimasukkan ke
pusat rawatan mental. Suraya dan Adib melawatnya dan Adib menghadiahkan novel
hitam itu sebagai peneman Munir. Munir cuba berulang-ulang kali untuk
menghapuskan novel itu, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, dia menggunakan darahnya untuk menulis di muka
depan buku itu ‘Jangan Baca Novel Ni’.
*********************************************************************************
Demikianlah sedikit sedutan novel "Jangan Baca Novel Ni", karya Ismi Fa Ismail.
Bagi saya, buku ini tidak menakutkan saya (depends on masing-masing la kan). Saya takde pun rasa berdebar-debar. Tapi, buku ini definitely buat saya banyak berfikir.
Saya rasa susah nak stop membacanya. Rasa ingin tahu apa sebenarnya berlaku dalam kisah itu. Akibatnya, saya berjaya habiskan membaca buku ini dalam masa sehari.
Tapi sebenarnya kan, banyak benda yang masih tergantung, seperti apa kaitannya setiap kisah dalam buku itu?, atau siapa Adib yang sebenarnya? and so on. Confuse..confuse..
Kawan saya pesan, untuk lebih jelas
tentang buku ini kena baca buku yang kedua. Buku yang kedua tu cover dia hitam legam tetapi tiada tajuk.
0 comments